ISMA Australia anjur Solat Hajat
May 15, 2009 by admin
Filed under Berita Luar Negara
Melbourne, 10 Mei – Biro Kebajikan dan Akademik ISMA Australia dan Biro Akademik FAMSY-MSD telah bekerjasama untuk menganjurkan program Solat Hajat dan juga Sesi Perkongsian Persediaan untuk Peperiksaan. Kedua-dua program diadakan di surau sementara University of Melbourne bertempat di Bouverie St.
Seramai lebih kurang 60 orang pelajar datang untuk mendengar sesi perkongsian untuk menghadapi peperiksaan. Rata-ratanya adalah pelajar tahun pertama yang bakal pertama kali menduduki peperiksaan di Australia.
Program bermula sejurus selepas solat Maghrib dengan sesi forum yang diacarakan oleh saudara Mohd Sukri Ismail dan dibarisi oleh dua orang panelis, saudara Mohd Aizuddin Kamaruddin, pelajar peringkat PhD di Bio21 Molecular Science and Biotechnology Institute, University of Melbourne dan Institute of Pharmaceutical Sciences, Monash University dan juga saudara Mohd Hikbal Ujir, pelajar tahun terakhir jurusan Kejuruteraan Mekanikal, Monash University.

Isi forum banyak membincangkan tips-tips belajar, suasana ketika peperiksaan, perkara-perkara yang bakal dihadapi dan juga prosedur-prosedur peperiksaan dibincangkan. Tidak dilupakan, beberapa potongan nasihat terutamanya kebergantungan kepada Allah dititikberatkan dalam perbicangan untuk mengingatkan kembali pelajar-pelajar akan kedudukan mereka dan tanggungjawab mereka sebagai duta Islam dan Malaysia di bumi Australia.
Pelajar-pelajar juga dinasihatkan untuk tidak terlalu memberat-beratkan masa pembelajaran hingga mengabaikan tanggungjawab dan juga rutin kehidupan harian. Tidak lupa juga, pelajar turut dinasihati untuk tidak terlalu mengambil mudah kerana sememangnya usaha yang bersungguh-sungguh diperlukan untuk mencapai kecemerlangan, bukan sahaja dalam aspek akademik tetapi dalam aspek kehidupan seluruhnya.
Secara ringkasnya, perbincangan forum dengan nada yang santai dan juga penekanan kepada perkara-perkara praktikal yang mudah untuk dicontohi berjaya memberi manfaat kepada pelajar-pelajar yang hadir.
Sesi perkongsian diakhiri dengan motivasi kepada pelajar-pelajar melalui tayangan snip ringkas video Tokoh Pelajar FAMSY-MSD sesi 2008, saudara Amir Farid Sabuddin. Beliau berjaya menggondol Anugerah Peddle Thorp iaitu anugerah pelajar-pelajar terbaik bidang Arkitek di Australia.
Majlis berakhir dengan jamuan ringkas yang disediakan oleh pihak penganjur. Dengan kesempatan ini, Biro Kebajikan dan Akademik ISMA Australia ingin mengucapkan selamat berjaya menghadapi peperiksaan dan moga mencapai sukses kepada semua pelajar-pelajar di Australia.










