Monday, September 6, 2010

Program Semai Mesra 2010 melabuhkan tirai

February 2, 2010 by admin  
Filed under Program Pre-Departure, SEMAI MESRA

Shah Alam, 10 Jan - Alhamdulillah, Program Semai Mesra 2010 telah melabuhkan tirainya pada hari Ahad 10 Januari yang lalu. Program yang diadakan selama 3 hari 2 malam bertempat di Taman Pertanian, Bukit Cerakah Shah Alam, telah berjaya mengumpulkan lebih 150 orang peserta yang akan ke luar negara, dan mereka telah disertai barisan fasilitator yang terdiri daripada pelajar-pelajar yang sedang menuntut di Australia dan New Zealand.

Program Semai Mesra anjuran Sekretariat Luar Negara ISMA kali ini telah diadakan pada kali yang kesepuluh dan menyaksikan bilangan peserta paling ramai sepanjang sejarah berlangsungnya program ini.

Secara umumnya, objektif program telah berjaya dicapai dimana peserta mendapat pendedahan yang meluas mengenai kehidupan yang akan mereka tempuhi apabila tiba di bumi yang asing bagi mereka. Selok-belok dan ilmu yang diperlukan untuk menghadapi cabaran ketika di luar negara telah digarap secukupnya sepanjang program.

Bermula pada hari Jumaat di mana peserta mula mendaftarkan diri sekitar jam 3.30 petang, AJK Pendaftaran dan Logistik kelihatan sibuk menerima kehadiran peserta dan fasilitator. Setelah selesai khidmat diri, peserta menjamu selera dan kemudian bersolat Maghrib secara berjemaah.  Program Semai Mesra mula mengorak langkah dengan sesi berkongsi pengalaman yang bertajuk ‘Ada Apa dengan OZ/NZ’. Sesi tersebut yang telah disampaikan oleh saudara Norzafry Norhalim telah sedikit sebanyak membuka minda peserta mengenai situasi hidup yang berbeza ketika berada di luar negara. Perkongsian pengalaman peribadi penyampai selaku bekas pelajar luar negara (beliau merupakan bekas pelajar RMIT University, Melbourne) amat bermakna bagi peserta untuk mereka mengolah gambaran realiti kehidupan di luar negara. Setelah sesi tamat, peserta menikmati juadah ringan sebelum memulakan kembara mimpi.

Hari kedua program Semai Mesra dimulakan dengan laungan azan subuh dan setelah selesai solat berjemaah serta sarapan pagi, sesi kedua yang bertajuk ‘Fair Dinkum Muslim’ mula mencuri tumpuan.  Fair Dinkum adalah slang Australia yang bermaksud truly atau sebenar.  Sesi tersebut berkisar mengenai kepentingan bagi seorang muslim untuk memperlengkapkan diri agar berjaya mencapai objektif ingin menjadi muslim yang sebenar/sejati.  Sepuluh isi penting yang perlu diterapkan ke dalam diri setiap muslim adalah seperti berikut; aqidah sejahtera, ibadah yang sahih, akhlak yang mantap, mampu bekerja, berpengetahuan luas, tubuh yang cergas, mampu menguasai diri, teratur urusan, menghargai masa dan bermanfaat kepada orang lain. Diharapkan dengan bekalan ini, mempraktikkan kehidupan sebagai seorang muslim diluar negara tidak menjadi satu masalah bagi peserta yang akan menyambung pelajaran disana. Setelah sesi berakhir, program diteruskan lagi dengan sesi ‘ice-breaking’ dimana peserta melakukan beberapa permainan dan aktiviti yang bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan antara peserta dan fasilitator.  Sesi tersebut berkahir pada 12 tengah hari dan sejurus kemudian peserta menikmati hidangan tengah hari.

Selepas Zuhur, program outdoor bermula sekitar jam 2.30 petang. Peserta dibahagikan mengikut kumpulan dan diminta bergerak bersama melalui 5 checkpoints dan setiap checkpoint terdapat halangan yang perlu ditempuhi. Aktiviti ini berjaya menanam kepentingan sifat bekerjasama sesama ahli kumpulan dan sikap inilah yang akan membantu ketika menghadapi cabaran berada di negeri orang kelak. Aktiviti berakhir pada jam 6.30 petang. Setelah penat melalui halangan bersama, peserta disajikan dengan makan malam dan seterusnya khidmat diri untuk program seterusnya.

Selepas selesai menunaikan solat Maghrib berjemaah, program kemuncak Semai Mesra berlangsung. Forum yang bertajuk ‘Hujan Emas di Negeri Orang, Lebih Baik Hujan Batu di Negeri Sendiri’ telah menampilkan tiga ahli panel yang berpengalaman untuk membincangkan mengenai perbandingan keadaan dari segenap aspek kehidupan sebagai seorang pelajar di luar negara. Sesi forum dihangatkan lagi dengan perbincangan mengenai isu-isu gejala sosial yang kian meluas di kalangan golongan pelajar. Diharapkan sesi tersebut berjaya membentuk pemikiran dan niat yang sebaiknya sebelum menyambung pelajaran di luar negara. Selesai forum, peserta terus pulang ke rumah masing-masing untuk mendapatkan rehat yang secukupnya setelah sibuk seharian beraktiviti dan terlibat dengan program.

Keesokan paginya, setelah selesai solat Subuh berjemaah, sesi terakhir program bermula dengan program yang bertajuk ‘Fiqh of Traveller’ yang telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni. Sesi yang berlangsung selama 2 jam ini telah berjaya meluaskan lagi kefahaman Islam kepada peserta terutama dari segi beribadat. Beberapa perkara yang didedahkan seperti khuf dan solat dalam kapal terbang bertujuan memberi kemudahan dalam beribadat kepada peserta. Kelihatan peserta begitu berminat untuk mempelajari dan menerima ilmu tersebut dan sesi soal jawab telah menyaksikan penglibatan aktif peserta dalam bertanya persoalan yang masih belum terjawab. Setelah tamat sesi ‘Fiqh of Traveller’, satu sesi penutup diadakan dan respons mengenai program yang diberikan oleh peserta amat menggalakkan.

Sesi penyampaian hadiah dan ucapan penutup dari pengarah program, saudara Amal Asrol telah melabuhkan tirai Semai Mesra 2010. Diharapkan peserta mendapat manfaat maksima sepanjang mengikuti program dan semoga bekalan yang diperoleh dapat diaplikasikan apabila tiba di bumi orang kelak.

Speak Your Mind

Tell us what you're thinking...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!

Houston

India

Australia

Malaysia

Mesir

Korea Jepun

UK Eire